1,200 warga SK Darulaman Heights hasilkan Jalur Gemilang cap tangan

Estimate Reading Time: 2 minutes

JITRA: Seramai 1,200 guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights di sini, mempamerkan semangat patriotik tersendiri apabila menghasilkan Jalur Gemilang dengan cara menekap tangan di atas kain putih.

-Advertisement-

Guru Besar SK Darulaman Heights, Mafezzul Mohamad, berkata idea itu dilakukan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan guru dan pelajar sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Selain itu katanya, pihak sekolah turut memberi penekanan terhadap pelajar mengenai pentingnya semangat patriotik serta sayangkan negara menerusi penghasilan Jalur Gemilang berkenaan.

“Memang setiap tahun kami adakan sambutan bulan kebangsaan, namun kali ini sekolah mahu tampilkan kelainan. Melalui perbincangan dijalankan, kami bersetuju menghasilkan bendera gergasi menggunakan cap tangan setiap warga sekolah bermula dari murid, guru serta kakitangan am dan sokongan.

“Dengan kos kira-kira RM500, kami mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghasilkan bendera gergasi sepanjang 20 meter dan lebar tiga meter, kami sentiasa beritahu pelajar bahawa cap tangan mereka akan kekal di kain ini manakala semangat cintakan negara perlu terus kukuh di hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah berkenaan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Majlis itu turut disertai bekas pemain bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Selain penghasilan Jalur Gemilang gergasi berkenaan, pihak sekolah turut merancang pelbagai lagi program antaranya sempena sambutan bulan kebangsaan antaranya Larian Jiwa Merdeka pada 29 Ogos depan.

Sementara itu salah seorang guru , Nurhanis Zamshah, berkata kebanyakan murid pada mulanya tidak mempunyai idea mengenai apa yang hendak dilakukan dengan kain sebesar itu.

“Apabila mereka diminta untuk mengecap tangan, mereka tertanya-tanya apa tujuannya. Namun apabila Jalur Gemilang itu sudah siap dan dibentangkan, terpancar wajah gembira dalam wajah masing-masing melihat hasil kerja tangan mereka.

“Semua pihak bekerja keras bagi menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini bermula daripada usaha melukis, membawa murid mengecap tangan serta menggantungnya di bangunan sekolah. Kami berharap usaha ini akan menjadi sebagai antara kenangan terbaik buat murid apabila mereka dewasa nanti,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427