BUKIT MERTAJAM: Seramai 120 mangsa membabitkan 26 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light selepas rumah mereka di Taman Mangga, Bukit Tengah, dekat sini dilanda banjir kilat, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.11 malam berhubung insiden itu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati beberapa buah rumah dekat situ dinaiki air setinggi 0.5 meter dan memerlukan mereka berpindah sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
“Seramai 120 mangsa dari 26 keluarga sudah dipindahkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, melalui pemantauan di kawasan perumahan berkenaan mendapati, air sudah mula surut.
Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang petang semalam menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan berbuka puasa.
Selain itu, terdapat juga kejadian ribut yang menyebabkan berlakunya kerosakan rumah selepas bumbung diterbangkan angin.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), baru-baru ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang.
-BH