WASHINGTON: Presiden Joe Biden memilih wanita berkulit hitam, individu ‘berdarah’ Asia dan beragama Islam daripada 11 individu yang dilantik sebagai hakim persekutuan bagi mewujudkan kepelbagaian dalam sistem kehakiman Amerika Syarikat (AS).
“Pencalonan ini sebagai mewakili kepelbagaian latar belakang, pengalaman dan perspektif yang akan mengukuhkan lagi negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Biden mencalonkan dua wanita keturunan Afrika mengisi jawatan di mahkamah rayuan dan dua hakim keturunan Afrika untuk berkhidmat di mahkamah daerah persekutuan yang seorang daripadanya lelaki, dua berdarah Asia, dua berketurunan Hispanic dan dua lagi wanita berkulit putih.
Daripada 11 senarai hakim yang dipilih Biden itu, hanya dua daripadanya adalah lelaki dan tiada seorang pun berkulit putih.
Hakim Ketanji Brown Jackson, hakim di Mahkamah Rayuan Columbia yang berketurunan Afrika dan sering mengendalikan kes besar, mengetuai senarai hakim bakal dilantik Biden.
Jika diluluskan Senat, Jackson, 50, dijangka menggantikan Peguam Negara, Merrick Garland atau dicalonkan menjadi Hakim Mahkamah Agung jika berlaku kekosongan jawatan itu.
Belum pernah wanita berkulit hitam dilantik menjadi hakim di sembilan mahkamah tinggi negara itu.
Bekas Ketua Pendakwa Raya Jabatan Keadilan, Neal Katyal menerusi Twitter berkata, Ketanji Jackson Brownd adalah antara hakim terbaik di AS.
“Bijak dan berkebolehan. Beliau layak dan luar biasa apabila bersama-sama dalam mahkamah kedua tertinggi kita,” katanya.
Zahid Quraishi, 45, yang kini menjadi majistret di mahkamah New Jersey bakal menjadi orang Islam pertama dilantik untuk berkhidmat sebagai hakim persekutuan daerah jika diluluskan Senat.
“Hakim Zahid bertugas untuk negara dengan cemerlang. Beliau bakal melakar sejarah menjadi orang Islam pertama dilantik sebagai hakim mahkamah persekutuan,” kata Senator New Jersey, Cory Booker.
Mengikut Perlembagaan AS, presiden berhak mencalonkan individu pilihannya untuk berkhidmat di Mahkamah Agung dan mahkamah persekutuan yang seumur hidup, dan Senat akan mengundi untuk mengesahkannya. – AFP