10 pegawai polis, dua SPRM ditahan terlibat Geng Nicky

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Seramai 12 pegawai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Johor antara 21 April hingga semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Jelas beliau, penahanan 12 pegawai itu merupakan tangkapan pertama melibatkan pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dengan kegiatan ‘Geng Nicky’.

“Ini susulan sidang akhbar oleh Ketua Polis, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini yang mendedahkan seramai 34 pegawai dan anggota penguat kuasa dipercayai terlibat dengan geng berkenaan.

“Satu operasi telah dijalankan di mana seramai 12 pegawai penguat kuasa berusia antara 36 hingga 49 tahun ditahan melibatkan 10 pegawai polis dan dua pegawai SPRM,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, pegawai polis yang ditahan membabitkan dua yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan jawatan Superintenden dan Inspektor.

“Empat ditahan di IPK Selangor, membabitkan seorang Deputi Superitenden Polis (DSP), seorang Asisten Superintenden Polis (ASP) dan dua Inspektor yang bertugas di JSJ, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Cawangan Khas dan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

-Advertisement-

“Sementara di IPK Melaka membabitkan seorang DSP, diikuti IPK Kuala Lumpur melibatkan dua ASP dan seorang Inspektor di IPK Negeri Sembilan. Turut ditahan adalah seorang Penolong Pesuruhjaya dan seorang Penguasa SPRM yang bertugas di Putrajaya,” katanya.

Ayob Khan berkata, perkembangan itu menyaksikan seramai 64 suspek telah ditahan membabitkan orang awam dan pegawai penguat kuasa yang dipercayai terlibat jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kesemua mereka yang ditahan dibawah akta ini akan dikenakan reman selama 28 hari,” jelasnya.

Sementara itu beliau percaya penahanan terbaharu ini akan membantu pihaknya dalam usaha menjejak ketua geng berkenaan iaitu Nicky Liow Soon Hee yang dilucutkan gelaran Datuk Seri oleh Istana Pahang, baru-baru ini.

Pada Rabu minggu lalu, seorang pegawai polis berusia 40 tahun berpangkat ASP yang bertugas di sebuah IPD di Kuala Lumpur turut ditahan bagi membantu siasatan terhadap penglibatan geng tersebut, menjadikan keseluruhan 13 pegawai polis ditangkap setakat ini.-UTUSAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427